Searching...
Monday, August 11, 2014
8:17 PM 0

KPM Serius Laksanakan Penempatan Guru Baharu


PUTRAJAYA: Penempatan guru baharu dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut keperluan semasa, kata Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.

"Kementerian sememangnya serius dalam hal ini," katanya, sambil menambah kementerian telah menempatkan sebahagian guru pada Jun lalu dan sebahagian lagi pada September ini dan Januari tahun hadapan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Gerakan Calon Simpanan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kementerian Pendidikan di sini hari ini sebelum menyerahkan memorandum berhubung masalah siswazah yang masih tidak ditempatkan sebagai guru setelah menunggu untuk tempoh yang lama.

Terdahulu Kamalanathan menghadiri mesyuarat projek pembinaan tujuh buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membabitkan kos RM130 juta.

Kementerian Pendidikan pada 8 Julai lepas dalam satu kenyataan berkata sebahagian daripada 1,595 calon simpanan yang telah ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran pada Mac tahun ini akan ditempatkan sebagai guru September ini.

Penempatan mereka dijalankan untuk mengisi kekosongan guru yang bersara dan memenuhi keperluan semasa di sekolah menengah berdasarkan opsyen graduan berkenaan, kata kenyataan itu. -mStar

0 comments:

Post a Comment